Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari didakwa sembilan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM4juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii) sekali lagi diharapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas 17 pertuduhan salah guna dana berjumlah RM1.63 juta.

Tertuduh, Datuk Mohamad Madani Sahari bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di harapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Madani secara tidak jujur didakwa telah menyalahgunakan dana milik MARii berjumlah keseluruhan RM1.63 juta melalui Cek LPS Learning Platform dengan membayar rawatan stemcell 500,000 di VHG Wellness.

Kesalahan itu telah dilakukan di bank Shah Alam Sesyen 20 antara tahun 2020 hingga 2021 dan jika sabit salah tertuduh berdepan penjara setiap pertuduhan sehingga lima tahun selain sebat dan denda mengikut Sesyen 403 Kanun Keseksaan.

Pasukan pendakwaan memohon menggunapakai jaminan sebanyak RM300,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah  seperti yang dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How juga memohon supaya kes ini dipindahkan dan dibicarakan sekali dengan kes sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala pasukan bela tidak membantah cadangan itu.

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 29 Februari depan.

Semalam, Mohamad Madani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu Lembaga Pengarah institut berkenaan bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif bernilai RM6.4 juta.

Bagaimanapun tertuduh yang sudah berusia 57 tahun itu mengaku tidak bersalah kesalahan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa harga ditawarkan syarikat LPS Learning Platform adalah RM6.4 juta walaupun ia hanya berharga RM2.3 juta.

Pada 14 April tahun lalu, Mohamad Madani didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada seorang individu yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Ini dipercayai sebagai upah kerana membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.

Beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen KL pada 8 Mei tahun lalu atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja.

Difahamkan setakat ini, tertuduh sedang berdepan lebih 40 pertuduhan melibatkan kes rasuah, pengubahan wang untuk aktiviti haram dan penipuan melibatkan kontrak badan kerajaan itu dengan syarikat lain. – MalaysiaGazette