Rahmad Mariman

ALOR GAJAH – Melaka akan mengeluarkan satu arahan berhubung majlis graduasi atau majlis apresiasi di peringkat sekolah supaya tidak membebankan ibu bapa terutama penganjuran di hotel.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan tular di media sosial majlis sedemikian yang sudah menjadi trending atau ikutan guru sekolah rendah.

“Dalam hal ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka berpandangan sambutan itu tidak salah tapi bukanlah secara besar-besaran dan kita memang tak galakkan ia dibuat di hotel-hotel.

“Buat saja di sekolah dalam skala sederhana dengan belanja yang minimum dan tidak membebankan ibu bapa.

“Selepas ini kita akan keluarkan arahan mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media selepas menyantuni 211 calon SPM Negeri Melaka pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad.

Semalam, media melaporkan pelakon Adrea Abdullah, 47, mempersoalkan tindakan pihak sekolah menjadikan ‘trend’ hari graduasi di hotel lima bintang dengan bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi setiap pelajar.

Tindakan guru besar yang sengaja memilih mengadakan majlis berkenaan di hotel mewah dakwanya, seolah-olah mahu menunjukkan sesebuah sekolah itu bertaraf mewah dan hebat di media sosial tanpa memikirkan dilema dihadapi ibu bapa apabila terpaksa berbelanja sehingga RM500 untuk majlis berkenaan.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, arahan yang bakal dikeluarkan itu perlu menjadi rujukan semua sekolah di negeri ini.

“Tapi arahan itu bukanlah bermaksud kita tak bagi buat di hotel, cuma tak digalakkan kerana dibimbangi akan membebankan ibu bapa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dh lama benda merepek ni di buat sekolah. Menyusahkn mak bapak kluarkn duit bnyk semata2 pihak sek nak rasa glamour. Menteri pendidikn patut hentikn benda2 ni. Buat kt dewan sek apa masalahnya. Sng dr segi pengangkutan pd ibu bapa. Klau kt hotel, yg tk berduit trpjsa pergi sorang parent je sb tk nk hampakn anak.

Comments are closed.