SERDANG – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Cilik Pertanian eDU-PARK@UCTC UPM baru-baru ini bagi memupuk minat kanak-kanak dalam bidang pertanian.
Seramai 28 orang kanak-kanak yang berusia di antara 7-15 tahun telah mengikuti program tersebut mendapat pendedahan untuk memahami kepentingan pertanian sebagai sumber makanan serta membina kemahiran baharu dalam pertanian dan mengenali anatomi haiwan.
Ketua program, Muhammad Syafiq Kamal berkata, universiti bukan sekadar pusat pendidikan untuk mahasiswa semata-mata, malah adalah milik masyarakat termasuk golongan kanak-kanak untuk mendapatkan ilmu pengetahuan di universiti.
“Pendedahan awal kanak-kanak dengan suasana kampus dapat menyuntik semangat dan meletakkan azam dalam diri mereka agar suatu hari nanti akan memilih UPM untuk menyambung pelajaran kelak,” katanya.
Peserta program, Nurain Syakirah Mohd Zain,15, berkata, beliau teruja mengikuti program tersebut dan memperoleh pelbagai ilmu pertanian yang boleh dimanfaatkan kelak.
“Program ini sangat bagus serta aktiviti yang dijalankan di sini memberikan pengetahuan baharu dan menimbulkan minat untuk saya untuk mendalami ilmu pertanian. Saya juga dapat menambahkan kenalan baharu serta bertukar pandangan mengenai aktiviti di sini,” katanya.
Ibu kepada peserta program, Shararina Ab Rahman berkata, beliau berpuas hati dengan pengisian aktiviti program ini dan berharap program sebaik ini dapat diteruskan lagi terutamanya pada musim cuti sekolah.
“Terima kasih UPM dan tenaga pengajar yang terlibat dalam program ini saya berharap UPM akan berterusan menganjurkan program sebegini bukan sahaja ianya memberi ilmu malah anak-anak saya seronok dapat ilmu yang bermanfaat,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan di dalam program ini, antaranya adalah aktiviti semaian biji benih, membuat kokedama, hidroponik, dan pembuatan baja organik cecair dengan bimbingan pegawai di UCTC UPM.
Selain itu, peserta telah melawat ke lokasi penanaman cendawan tiram kelabu dan menuai cendawan, melawat tempat ternakan puyuh dan ternakan ikan tilapia di plot showcase UCTC UPM.
Menariknya, peserta boleh membawa pulang setiap bahan yang digunakan dalam aktiviti pertanian ini.
Para peserta juga turut melawat ke Muzium Anatomi Haiwan yang terletak di Fakulti Perubatan Veterinar yang merupakan salah satu muzium yang dibuka kepada orang awam untuk lawatan di bawah eDU-PARK UPM.
Antara lokasi lain pakej agro pelancongan yang ada di UPM adalah Muzium Anatomi Manusia, Muzium Patalogi Manusia, Muzium Warisan Melayu, Ladang Rusa, Pusat Ekuin Putra (kuda), dan Ladang Bersepadu (Ladang 10), UPM.
Dalam pada itu, peserta turut berpeluang untuk melihat sendiri haiwan-haiwan yang telah diawet, mempelajari anatomi haiwan ternakan dan mempelajari cara menyediakan sampel sel darah haiwan ternakan dan melihat sel darah dengan menggunakan mikroskop. – MalaysiaGazette