KUALA LUMPUR – Perwakilan asing di Malaysia menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim yang selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini pada Rabu berkongsi poster Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di platform X kedutaan bersama dengan ucapan tahniah.
“Kedutaan AS di Kuala Lumpur menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong ke-17. #DaulatTuanku #Agong,” menurut kapsyen mengiringi poster itu.
Kedutaan Kanada juga berkongsi poster yang sama pada platform X kedutaan.
“Tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17,” tulis kedutaan itu.
Kedutaan Kanada juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya dan berterima kasih kepada bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Ibrahim pada Rabu selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa, selepas menjadi ketua negara sejak 31 Jan 2019. – BERNAMA