Polis Jenayah Berat (D9) IPK Selangor mengusung keluar mayat suspek yang ditembak mati dalam siasatan kes pembunuhan kejam wanita Indonesia semasa serbuan di Shah Alam petang tadi.- Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki yang disyaki membunuh seorang wanita Indonesia secara kejam ditembak mati dalam satu serbuan di Shah Alam hari ini.

Pasukannya bertindak demikian selepas suspek cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Katanya, lebih kurag 5.50 petang tadi sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Petaling Jaya telah membuat serbuan berkaitan kes bunuh kejam membabitkan mangsa wanita Indonesia di Sungay Way, Petaling Jaya Isnin lalu.

“Polis telah pergi ke satu rumah flat lima tingkat di kawasan Taman Bukit Subang, Shah Alam bertujuan untuk membuat tangkapan bersabit satu kes bunuh di Sungai Way pada Isnin lalu melibatkan mangsa perempuan Indonesia berusia 19 tahun telah dibunuh dengan kejam dengan kesan lapan tikaman di badan.

“Sampai di alamat itu pasukan serbuan telah mengetuk pintu beberapa kali namun tidak dibuka suspek.

“Kemudian pasukan serbuan telah masuk ke dalam rumah itu dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum nampak seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an tiba-tiba  datang ke arah salah seorang pegawai serbuan dan menyerang dan bertindak agresif menyerang anggOta menggunakan sebilah parang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, sebagai langkah mempertahankan diri dari tindakan ganas suspek, pegawai serbuan telah melepaskan satu tembakan ke arah suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut didapati suspek telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian itu. Polis juga merampas sebilah parang berukuran 28 sentimeter yang digunakan suspek untuk menyerang anggota semasa serbuan itu,” katanya.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Supritendan Muhammad Abdul Hafiz Bin Sariee di talian 014-890 5051.

Pada 29 Januari lalu, seorang wanita ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di tangga tepi lif di perumahan Desa Mentari, Sungai Way dan polis telah menjalankan siasatan kerana ia kes bunuh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes pembunuhan kejam wanita Indonesia selesai