KUALA LUMPUR – Pemain sayap lincah skuad kebangsaan, Faisal Halim sah kekal bersama The Red Giants bagi musim 2024/25 sekaligus akan terus menjadi tunjang buat Selangor FC.
Berita itu diumumkan naib juara Liga Super musim 2023 itu menerusi akaun media sosialnya.
Musim lalu, pemain berusia 26 tahun itu muncul antara pemain tempatan paling menyerlah apabila meledak 13 gol dan melakar 11 bantuan gol dalam 28 penampilan
Malah menerusi musim pertamanya bersama pasukan Lembah Klang itu dengan 12 gol dijaringkannya dalam saingan Liga Super, pemain yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ itu dinobatkan sebagai penjaring terbanyak tempatan bagi Liga Super.
Berdasarkan prestasi cemerlangnya pada musim lalu, Selangor pasti mengharapkan prestasi sama dapat diteruskan apatah lagi mereka akan berentap dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada musim baharu nanti.
Selain Faisal, Selangor turut mengumumkan beberapa pemain akan turut kekal bersama mereka pada musim depan seperti Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal Mahadi. – MalaysiaGazette