Suasana di hadapan Depot Imigresen Sementara Bidor, Tapah, berkaitan kes 131 lelaki warga asing dari Myammar termasuk etnik Rohingya merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor, dekat sini, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 FEBRUARI 2024.

TAPAH – Rusuhan melibatkan 131 pendatang tanpa izin Myanmar dan Rohingya sehingga mereka lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor malam tadi  tidak menyebabkan sebarang kecederaan kalangan anggota agensi keselamatan.

Bagaimanapun, seorang daripada pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang melarikan diri maut dalam kemalangan di Kilometer 355 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (arah utara).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, PATI terbabit bertindak memecahkan pagar dan kawad duri sebelum melarikan diri dari depot tahanan tersebut.

Menurutnya, sebanyak tujuh sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di melibatkan SJR Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, dibantu IPD di daerah berdekatan termasuk Kampar, Muallim dan Hilir Perak.

“SJR itu didirikan bagi mencari tahanan yang melarikan diri dan InsyaALLAH mungkin kita akan menambah lagi (SJR) jika mengikut keperluan.

“Bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dibuat namun kita ada mendapat maklumat daripada luar untuk mengesan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Depot Imigresen Sementara Bidor di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Yusri menegaskan supaya orang ramai tidak bersimpati dan melindungi pelarian tersebut.

“Jika mereka (orang ramai) berbuat demikian (melindungi pelarian) mereka boleh didakwa kerana bekerjasama atau bersubahat dengan mereka (pelarian),” katanya.

Tambahnya, setakat ini pelarian-pelarian terbabit dipercayai masih berada dalam sekitar kawasan kebun kelapa sawit sekitar depot tahan atau dalam daerah Tapah.

Sementara itu, tinjauan MG Perak di depot imigresen tersebut berada dalam keadaan terkawal serta kelihatan agensi antaranya RELA ditempatkan berdekatan pintu masuk depot berkenaan.

Depot tersebut terletak bersebelahan dengan laluan PLUS, terletak dalam kawasan kebun kelapa sawit serta sungai dan memerlukan perjalanan sejauh kira-kira lima kilometer dari jalan utama iaitu jalan antara Tapah-Bidor, termasuk perlu melalui jalan ‘offroad’. – MalaysiaGazette