Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan ahli dan pemimpin yang masih berharap beberapa pemimpin kerajaan boleh membantu pengampunan penuh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isham dalam reaksi berhubung ‘pengampunan separa’ terhadap bekas Presiden UMNO itu berkata, beliau sudah lama memberi amaran mengenai perkara itu.

“Saya sudah cakap lama. Mereka itu memang kaki kencing, tapi ada yang masih percaya dan berharap mereka konon dapat tolong.

“Sekarang apa sudah jadi? Masih mahu sokong Anwar, DAP dan Zahid Hamidi? Sokonglah jika mahu terus kena kencing,” kata Isham dalam satu kenyataan.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu turut mengkritik tindakan seorang pemimpin DAP yang menyindir keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib.

Beliau mendakwa tindakan pemimpin DAP itu tidak akan mendatangkan kemarahan kepada kepimpinan UMNO, sebaliknya akan dipertahankan.

“Tadi ada orang DAP perli-perli dan suka Datuk Seri Najib tidak dapat pengampunan. Saya rasa DAP tidak risau pun, sebab mereka sudah pegang Zahid dan pegang beberapa pemimpin UMNO.

“Tentunya sekejap lagi akan ada kurang-kurang tiga penjilat DAP dalam UMNO yang akan backing DAP ini. Cuba teka siapa tiga orang top ‘three stooges’ penjilat DAP dalam UMNO ini,” kata beliau.

Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua tanpa menyebut nama Najib menyindir mengenai pengurangan denda dan hukuman penjara terhadap Najib di Facebook.

“Memandangkan Raja Klep telah mengakui kesalahannya, bertaubat dalam penjara dan memohon pengampunan rakyat. Kita harus menunjukkan kebaikan dan memberikan diskaun 50% kepada hukuman penjaranya.

“Oh, dan kita boleh mengetepikan denda RM210 juta jika dia menerima diskaun 40% sahaja. Lagipun, beliau pada zamannya sebagai PM bermurah hati mengagihkan jutaan ringgit kepada rakyat, termasuk tetapi tidak terhad kepada kroni dan ahli politik.

“Oh tunggu, dia belum mengaku atau bertaubat? Oh… dan wang itu bukan miliknya? Oh,” kata Pua yang juga membuat beberapa hantaran lain.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.-MalaysiaGazette