Tiga pemandu trak tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan hari ini.

GURUN – Tiga anggota tentera BatalionKem 3 Rejimen Sempadan Pengkalan Hulu, Perak maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk tiga trak pasukan di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini, hari ini.

Kejadian jam 10.30 pagi mengakibatkan ketiga-tiga pemandu trak berusia antara 30 hingga 40 tahun itu maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada kepala serta anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati kesemua trak tentera itu dari kem di Pengkalan Hulu menghala ke Kem 30 Briged, Perlis sebelum berhenti di lorong kecemasan lokasi kejadian susulan salah sebuah trak mengalami kerosakan.

Anggota bomba mengeluarkan mayat salah seorang mangsa di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, tiba-tiba sebuah lori jenis Isuzu milik satu syarikat kurier yang dalam perjalanan dari Kulim ke Alor Setar telah melanggar bahagian belakang trak tentera yang mengalami kerosakan.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan lori kurier itu berpusing ke kiri dan melanggar bahagian belakang kanan sebuah lagi trak tentera sebelum trak itu menggelongsor dan langgar sebuah lagi trak yang berada di hadapan,.

”Malah, ketika kejadian ketiga-ketiga pemandu trak itu dipercayai berada di sisi kanan trak yang berhenti terdahulu akibat mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zaidy, akibat kemalangan itu kesemua anggota tentera tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Kesemua trak tentera itu dari Kem di Pengkalan Hulu menghala ke Kem 30 Briged di Perlis.

Manakala pemandu lori kurier berusia 31 tahun pula dikejarkan ke Hospital Alor Setar untuk rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan parah pada kepala serta kaki.

“Siasatan lanjut mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu lori kurier tersebut hilang kawalan sebelum melanggar trak askar yang berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat ketiga-tiga anggota tentera itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah bagi proses bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast