Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Dataran Istana, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 31 JANUARI 2024.

Pendahuluan
Tarikh 31 Januari 2024 akan kekal menjadi tarikh yang bersejarah apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dimahsyurkan dan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-17 menggantikan Al-Sultan Abdullah. Tidak seperti kebanyakan negara-negara yang lain, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dimana kepimpinan monarki tradisi digabungkan dengan konsep demokrasi moden.

Gabungan idealisme pentadbiran ini membentuk kepada suatu hubungan simbiosis yang unik di antara sistem beraja dan demokrasi di mana Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kekuasaan Raja-Raja Melayu, dan dalam pada masa yang sama, Yang Dipertuan Agong berperanan sebagai pelindung utama terhadap kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun ramai yang berpendapat bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah bersifat simbolik, namun pada hakikatnya baginda mempunyai hak-hak serta kekuasaan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Falsafah Raja Berpelembagaan
Konsep raja berpelembagaan bukanlah sesuatu yang baharu mahupun asing jika dilihat dalam konteks amalan demokrasi moden. Berbeza dengan konsep pemerintahan monarki mutlak, konsep raja berpelembagaan menjamin kedudukan dan kuasa raja di bawah perlembagaan sesebuah negara tersebut. Konsep pemerintahan raja berpelembagaan digunapakai dibanyak negara didunia pada hari ini, termasuklah di Britain, Jordan, Maghribi, Belanda, Sepanyol, Belgium, Sweden, Jepun, dan tidak ketinggalan juga di negara kita, Malaysia.

Sejak dahulu, institusi diraja merupakan tunjang utama didalam pentadbiran negara ini. Sekiranya disoroti sejarah, Institusi Diraja telah pun berakar umbi sejak sekian lama dan telah melalui pelbagai evolusi dari segi falsafah pemerintahannya. Kedatangan Islam misalnya telah memberikan interpretasi baharu terhadap sistem pemerintahan beraja di mana Raja dianggap sebagai khalifah dan bukanlah jelmaan Tuhan seperti sebelumnya. Sistem Beraja di Malaysia terus mengalami evolusi yang getir ketika zaman penjajahan kuasa-kuasa barat, dan seterusnya mengalami satu lagi transformasi apabila kedudukan Raja-raja Melayu dimuliakan, dijamin dan di perlembagaankan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Institusi Diraja di negara ini sudahpun wujud sejak ratusan tahun yang lalu, namun institusi Yang di-Pertuan Agong boleh dikatakan sebagai institusi beraja yang baharu. Menurut Professor Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz, Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah ciptaan yang dimuafakati oleh Raja-Raja Melayu menjelang pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Sejak daripada itu, 17 Yang Dipertuan Agong telah pun dipilih dari kalangan Raja-Raja Melayu diatas perkenan Majlis Raja-Raja melalui Perkara 32(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memerintah selama lima tahun bagi setiap penggal pemerintahan. Walau bagaimanapun tempoh tersebut boleh berubah didalam keadaan tertentu yang diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan
Secara amnya, Yang Dipertuan Agong dipertanggungjawabkan dengan pelbagai perkara sepertimana yang disebutkan didalam Perlembagaan. Tanggungjawab utama baginda adalah berperanan sebagai ketua negara, sepertimana yang termaktub dibawah Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat besar terhadap tiga cabang utama negara, iaitu Eksekutif, Perundangan dan juga Kehakiman.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa Eksekutif Persekutuan adalah terletak kepada Yang Dipertuan Agong. Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan pula menggariskan bahawa fungsi baginda di bawah Perlembagaan perlulah dijalankan diatas nasihat Jemaah Menteri. Namun, Perlembagaan Persekutuan juga turut menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong masih lagi boleh melaksanakan kuasa baginda menurut budi bicaranya dalam hal-hal tertentu. Hal ini termasuklah mengenai perkara-perkara berkaitan dengan perlantikan Perdana Menteri, dimana ianya haruslah dilakukan selaras dengan Perkara 43(2)(a) yang mengkehendaki seorang Perdana Menteri dilantik untuk menerajui kerajaan persekutuan.

Menariknya, Perkara 43(2)(a) turut memberikan ruang budi bicara kepada baginda, apabila baginda boleh melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti di Parlimen. Budi bicara baginda dalam melantik Perdana Menteri dizahirkan secara jelas mutakhir ini, apabila Yang di-Pertuan Agong yang ke-16, Al-Sultan Abdullah telah melaksanakan tanggungjawab baginda dengan
cemerlang dan tertib dalam melantik Perdana Menteri terutamanya apabila ketika negara sedang berdepan dengan beberapa krisis politik yang mampu menggangu gugat kestabilan dan keamanan negara sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Selain daripada itu, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai peranan sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, serta mempunyai kuasa untuk melantik ahli-ahli Jemaah Menteri. Dalam pada itu, Yang Dipertuan Agong juga turut mempunyai hak untuk melantik ahli-ahli suruhanjaya-suruhanjaya yang disebutkan didalam Perlembagaan Persekutuan, termasuklah Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. Di samping itu, Yang Dipertuan Agong turut memiliki kuasa untuk mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati bahawa negara sedang menghadapi sesuatu ancaman samada berbentuk mudarat keselamatan, ekonomi, ataupun ancaman yang mampu mengaggu gugat ketenteraman awam seperti mana yang digariskan dibawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Seterusnya, baginda turut diamanahkan secara khusus dibawah Perkara 153 untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, serta kepentingan sah kaum-kaum yang lain yang dijamin oleh Perlembagaan. Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut mempunyai peranan khusus yang berkaitan dengan badan perundangan. Hal ini termasuklah mengenai kedudukan baginda sebagai sebahagian daripada komposisi asas Parlimen. Justeru itu, baginda mempunyai hak-hak berkaitan yang digariskan oleh Perlembagaan mengenai badan perundangan, termasuklah kuasa untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen sepertimana yang digariskan dibawah Perkara 55. Dalam pada itu, perkenan Yang di-Pertuan Agong turut diperlukan bagi meluluskan sebuah rang undang-undang untuk diperundangkan. Baginda juga mempunyai kuasa untuk melantik ahli-ahli Dewan Negara.

Selain itu, dalam keadaan tertentu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh berperanan sebagai penggubal undang-undang sekiranya sesuatu darurat diisytiharkan. Dalam kedudukan ini, Baginda diberikan amanah yang sangat besar untuk menggubal undang-undang, dimana kuasa undang-undang tersebut boleh melangkaui hampir keseluruhan jaminan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Peranan Yang di-Pertuan Agong tidaklah terhad kepada badan eksekutif dan perundangan, malah turut meliputi fungsi berkaitan dengan badan kehakiman. Dalam hal ini, Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 122B memperuntukkan bahawa baginda mempunyai kuasa untuk melantik hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Baginda juga mempunyai hak untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan apa-apa pandangan berkenaan dengan mana-mana perkara yang berkaitan dengan peruntukan Perlembagaan. Dalam pada masa yang sama, baginda turut mempunyai kuasa untuk memberi keampunan, menunda hukum dan lega hukum terhadap sesuatu kesalahan sepertimana yang termaktub dibawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Selain daripada itu, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai fungsi-fungsi khusus berkaitan dengan agama Islam. Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja seperti di Wilayah-wilayah persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Dalam pada masa yang sama, baginda juga masih menyandang kedudukan sebagai ketua agama Islam di negerinya walaupun sedang bertakhta sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kesimpulan
Persepsi bahawa Institusi Yang Dipertuan Agong adalah hanya bersifat simbolik adalah wajar dihakis dalam kalangan rakyat. Hal ini demikian kerana, Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas menetapkan hak-hak dan kuasa-kuasa yang boleh dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan
Agong dalam mentadbir dan menguruskan negara. Natijahnya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat besar sebagai penyemak dan pengimbang terhadap mekanisme pentadbiran yang lain, seperti eksekutif, kehakiman dan perundangan bagi memastikan negara sentiasa diurus dengan penuh kebertanggunjawaban.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia