KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim tidak perlu mencampuri urusan UMNO apatah lagi memberi cadangan agar presidennya digantikan dengan individu lain.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Rizwan Shah Azlan berkata, walaupun Hassan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan, namun beliau bukan ahli parti Melayu itu.

“Hassan Karim orang luar dari UMNO, masalah UMNO tiada kaitan dengan beliau.

“Dia patut bersyukur UMNO sedang dalam proses pemulihan, kalau tidak parti dia (PKR) tiada peluang jadi kerajaan.

“Mungkin dia pun tiada di mana-mana dia berada sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Hassan dilaporkan menggesa supaya UMNO membuat rombakan pemimpin baharu untuk mendapatkan undi Melayu bagi Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH).

Hasan berkata, selagi ia dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masyarakat Melayu sukar menyokong UMNO, BN atau gabungan BN-PH.

Menurut Rizwan Shah, mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan tidak perlu memburukkan gabungan BN-PH.

“Tidak perlu lah mana-mana pihak terutamanya ahli parti dalam Kerajaan Perpaduan cuba memburukkan gabungan ini.

“Fokuskan masa dan tenaga untuk cari solusi menyelesaikan masalah rakyat.

“Ada sesiapa bayar dia ke?” katanya.

Selain itu, BN dan UMNO tidak pernah menumpang “dahan” untuk menjadi kerajaan, sebaliknya kerana menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“30 kerusi UMNO diperlukan untuk membentuk kerajaan. Ada parti yang menolak tawaran YDPA,” katanya.

Rizwan turut menyifatkan Ahmad Zahid sebagai seorang presiden yang kental dan tidak tumbang ketika ditolak musuh politik.

“Panglima macam ini yang diperlukan UMNO pada saat sukar.

“Kalau orang lain mungkin sudah tumbang kalau diasak sebegini rupa,” katanya.

Katanya lagi, UMNO mempunyai strategi tersendiri untuk mendapatkan undi orang Melayu menjelang pilihan raya akan datang.

“UMNO ada strategi dan strategi ini sedang dilakukan. Nama pun strategi, tak perlu semua orang faham.

“Cukup untuk ahli atau pemimpin UMNO di jawatan tertentu faham.

“Bagi saya strategi yang ada ini boleh berhasil cuma ia mungkin mengambil masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast