Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – “Jika saya mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan fikiran maka itu dianggap satu kesalahan oleh Kerajaan Perpaduan maka saya bersedia jika saya dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti.”

Itu penegasan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Kenyataan Hassan itu menyusul selepas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Fahmi Fadzil menegur beliau supaya tidak menjaga tepi kain orang lain.

Ia ekoran kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang itu bahawa UMNO perlu diterajui nakhoda baharu bagi mendapatkan semula undi golongan Melayu.

Mengulas teguran tersebut, Hassan berkata, memang wajar Fahmi selaku jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Ketua Penerangan PKR menegur dengan keras anggota parti yang dianggap telah melakukan kesalahan disiplin kerana bersuara lantang.

“Saya telah menjadi anggota parti secara rasmi 46 tahun yang lalu pada tahun 1978 sebagai anggota Parti Rakyat Malaysia (PRM).

“Sepanjang tempoh lebih 4 dekad itu, inilah kali pertama saya ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik. Saya tidak berkecil hati,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak gentar atau takut atas teguran tersebut malah bersedia sekiranya PKR mahu memulakan prosiding disiplin ke atasnya kerana bersuara lantang selama ini. – MalaysiaGazette