Berita kehilangan 'influencer' dikenali Boss Mario yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di media sosial tular meminta orang ramai menghubungi ahli keluarga sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

MELAKA – Polis menerima laporan kehilangan seorang ‘influencer’ dikenali Boss Mario di Pantai Klebang, di sini selepas keluar dari rumahnya di Semabok, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kehilangan Yew Boon Xiang, 30, dilaporkan abangnya yang membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga, pukul 9.35 malam tadi.

Menurutnya, ia selepas panggilan telefon adiknya itu tidak berjawab ketika lelaki itu tiba di kedai telefon Melaka Sentral, pukul 8 pagi semalam.

“Setelah beberapa kali panggilan telefon adiknya tidak berjawab, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lelaki itu pergi ke rumahnya di Taman Pertam Jaya, Semabok untuk memeriksa keadaannya.

“Namun, adiknya itu tiada di rumah dan semakan pada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, dia keluar rumah menaiki keretanya jenis Honda City pada pukul 3 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Christoher, kira-kira pukul 6 petang semalam, lelaki itu mendapat tahu kereta adiknya itu diletakkan di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini supaya memaklumkan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, berita kehilangan Boss Mario yang mempunyai seramai 222,000 pengikut di Facebook turut tular di media sosial hari ini meminta orang ramai menghubungi ahli keluarga sekiranya mempunyai sebarang maklumat. – MalaysiaGazette