SUNGAI PETANI – Jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, iaitu seorang daripada tiga anggota tentera yang maut dalam nahas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Gurun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau di sini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan jam kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi mengikut istiadat pengebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli keluarga Allahyarham kemudian diberi peluang selama 30 minit untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah sebelum jenazahnya disolatkan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Nur Hasni Ishak, 32, dan pasangan itu sudah berkahwin hampir tiga tahun.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Panglima 30 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Terdahulu, mangsa menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kira-kira jam 10.30 malam.

Media semalam melaporkan, Mohd Hafiz dan dua lagi mangsa, Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, dan Koperal Mohd Asri Idris, 40, dari Rejimen Sempadan Pengkalan Hulu terlibat dalam nahas.

Impak kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Jenazah Rozali dibawa pulang ke Besut, Terengganu manakala jenazah Asri dibawa pulang ke Jeli, Kelantan untuk urusan pengebumian pagi ini.  – MalaysiaGazette