Datuk Mohd Zaid Ibrahim bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran buku Dendam Orang Menang dan Keputusan Akhir di Seri Pacific Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan UMNO diminta menjelaskan proses pendirian masing-masing berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, penjelasan itu perlu kerana baik Kerajaan Perpaduan mahpun UMNO sudah tentu ada pendirian masing-masing apatah lagi perkara ini dibincangkan dalam Kabinet.

“Walaupun dikatakan perbincangannya sekejap sahaja, sekejap atau tidak, ia sudah masuk dalam Kabinet. Justeru ia mesti dibincangkan. Jadi apa keputusan masing-masing di situ (dalam Kabinet),” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran buku Dendam Orang Menang & Keputusan Akhir.

Tambahan pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa  yang juga anggota Lembaga Pengampunan dalam kenyataannya mendakwa proses pengampunan ini telah dibuat secara kolektif.

“Apabila Zaliha mendakwa keputusan Lembaga Pengampunan adalah keputusan kolektif, ertinya ia keputusan bersama. Jadi, apa pendirian kerajaan, itu yang kita hendak tahu. Saya cadangkan perdana menteri beritahu kita semua apa prosesnya.

“Anda kata ia keputusan kolektif, jadi tidak boleh sembunyikan apa terjadi sebaliknya kita kena berterus terang….kitakan (kerajaan) Madani, Madani itu berterus terang.

“Jadi saya cadangkan kepada PM, biarkan kita semua tahu apa prosesnya, yang bila Zaliha kata ia keputusan kolektif, ertinya keputusan bersama tapi apa pendirian kerajaan, itu yang kita nak tahu,” ujar beliau.

Semalam, Urus Setia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib kepada enam tahun dan denda sebanyak RM50 juta.

Dengan pengurangan itu bermakna Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Mengulas lanjut, Zaid yang juga seorang peguam berkata, Najib sewajarnya mendapat pengampunan penuh daripada Lembaga Pengampunan.

Bahkan, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan mengurangkan pengampunan terhadap Najib.

Walau bagaimanapun Zaid yakin keputusan Lembaga Pengampunan itu tidak disenangi oleh pihak-pihak yang mahu bekas perdana menteri itu menjalani hukuman secara penuh.

“Keputusan Lembaga Pengampunan ini sudah pasti tidak memuaskan hati bagi kedua-dua pihak. Pihak yang mahu Najib kekal dalam penjara selama 12 tahun, tentu tidak puas hati.

“Tapi saya sendiri rasa dia (Najib) wajar dapat pengampunan penuh sebab kita pun tidak puas hati. Cuma bila kerajaan nak puaskan hati kedua-dua pihak inilah masalahnya.

“Apa-apapun kita kembali kepada prinsip pengampunan. Kita kena ikut apa yang dipohon – kalau Datuk Najib pohon pengampunan penuh jawapannya sepatutnya ya atau tidak. Kalau Datuk Najib mintak kurangkan sudah tentu boleh juga,” tambah beliau. – MalaysiaGazette