Datuk Mohd Yusri Hassan Basri
Mohd Yusri Hassan Basri

TAPAH – Seramai 10 lagi pendatang tanpa izin (PATI) warga asing terdiri daripada etnik Rohingya dan warga Bangladesh yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor berjaya ditangkap pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia menjadikan jumlah tangkapan PATI yang meloloskan diri pada Khamis kepada 51 orang setakat hari keempat Ops Kesan dijalankan.

“Polis Perak telah memulakan operasi mengesan dan menangkap Etnik Rohingya bermula 1 Februari pada jam 11.30 malam dan jumlah keseluruhan tangkapan sehingga kini adalah 51 orang.

“Pada hari ini sekitar jam 3.00 petang, pasukan operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Imigresen telah berjaya menangkap sepuluh lelaki etnik Rohingya.

“Tangkapan yang dibuat di ladang sawit Kampung Senta Bidor itu merupakan hasil maklumat orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut Mohd Yusri berkata, kesemua etnik Rohingya dan warga Bangladesh itu ditangkap di sekitar kawasan pentadbiran Tapah meliputi Tapah dan Bidor.

“Kesemua tangkapan dibuat oleh gerakan pencarian polis dan juga hasil maklumat orang ramai dan kami percaya ke semua yang melarikan diri masih berada di hutan serta kampung sekitar kawasan Tapah dan Bidor.

“Polis Perak ingin menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

“PDRM juga menyeru orang ramai segera menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan PATI yang melarikan diri.

“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Noor Irwan Abd Ghani dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah di talian 017-3168097,” katanya.

MG Perak pada Khamis melaporkan 131 PATI berjaya meloloskan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya. – MalaysiaGazette