KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menegur ahli-ahli masing-masing yang mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang merupakan Presiden UMNO berkata, pimpinan parti perlu mengarahkan ahli-ahli mereka untuk menarik balik atau memadam tulisan-tulisan berkaitan hal itu di mana-mana platform yang digunakan.
“Ketua-ketua parti juga perlu mengarahkan ahli-ahli terlibat untuk mohon maaf atas ketelanjuran mereka.
“Saya harap tindakan berkenaan dapat meredakan ketegangan dan mengetepikan kekeruhan,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Amanat Menteri Kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid juga tidak menolak dalam UMNO sendiri juga wujud ‘kacang hantu.
“Tetapi kita meneliti pendapat yang dikeluarkan individu tertentu dalam organisasi itu. Dalam UMNO pun ada kacang hantu yang begitu.
“Tentunya mana-mana organisasi politik ada yang begitu. Namun selagi ia tidak dikeluarkan oleh pemegang jawatan utama atau ketua parti itu, kita tak anggap ia sebagai pendapat rasmi (parti),” katanya.
Beliau berkata, pendapat yang berbagai dikeluarkan pemimpin politik dalam parti kerajaan terhadap keputusan pengampunan Najib itu tidak memberi kesan atau menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Tidak terkesan. Namun sebagai sebuah gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, kita mesti menyantuni perbezaan pendapat. Tetapi kita masih menaruh penuh hormat kepada kepimpinan utama parti, kerana ia akan menjadi pendirian parti itu.
“Pendapat yang berbeza dikeluarkan itu, maka saya tidak boleh halang, juga mana-mana pemimpin sayap dan ahli parti yang membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan individu berkenaan yang tidak mewakili parti berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette