Dua ketua jabatan Persekutuan dan seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selepas dipercayai membuat tuntutan palsu program anjuran jabatan tahun lalu.

MELAKA – Dua ketua jabatan Persekutuan dan seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selepas dipercayai membuat tuntutan palsu program anjuran jabatan tahun lalu.

Kesemua suspek berusia awal 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 2.30 petang tadi ketika diminta hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, ketua jabatan masing-masing seorang lelaki dan wanita itu dipercayai menggunakan dokumen invois membuat tuntutan palsu pembayaran program jabatan tahun lalu berjumlah kira-kira RM24,900.

“Suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berkomplot dengan seorang pengarah syarikat menggunakan invois yang mengandungi butir palsu.

“Ia berkaitan tuntutan pembekalan sedangkan tuntutan itu tidak pernah dilaksanakan bagi program yang dianjurkan tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, salah seorang suspek turut disyaki membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan berjumlah kira-kira RM6,000 kepada jabatannya.

Mohd Shahril Che Saad

Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan suspek dan tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa penjawat awam jabatan berkenaaan untuk memberi keterangan.

“Sepatutnya, Ketua jabatan berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabiliti dalam membersihkan jabatan mereka dari sebarang perlakuan rasuah.

“Bukannya dengan cara menyalahgunakan kuasa, bukannya menjadi “duri dalam daging” di jabatan masing-masing,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan permohonan reman kesemua suspek akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast