Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib (tengah) ketika merasmikan Kilang Fract750 hari ini

KUANTAN – Kilang Fract750 di bawah FGV Holdings Berhad (FGV) dibina di kawasan Pelabuhan Kuantan di sini merekodkan sejarah apabila menjadi kilang penapisan sawit yang  pertama dibina di Pantai Timur.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib berkata, pembinaan kilang Fract750 memakan setahun itu menelan kos perbelanjaan sebanyak RM23 juta.

Jelasnya, pembinaan kilang itu mencerminkan perkembangan strategik FGV memenuhi permintaan pasaran bagi penawaran produk premium seperti High IV Olein (IV60-IV65) dan hard stearin.

”Kilang FRACT750 yang baharu ini merupakan kilang penapisan minyak sawit pertama di wilayah Pantai Timur yang menggunakan Sistem Desmet iConFract, menggabungkan teknologi penapis mampat 30 bar yang inovatif.

”Fasiliti terbaru ini mencerminkan perkembangan strategik FGV dalam meluaskan dan mempelbagaikan penawaran produk FGV, termasuk serbuk stearin, lemak koko setara (CBE) dan pengganti lemak koko (CBS) dalam usaha bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Kilang penapisan baharu ini bukan sahaja membolehkan FGV meneroka bidang baharu dalam produk lemak khusus tetapi turut menyumbang kepada pembangunan industri di Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus perasmian FGV Refineries Kuantan Oil Products Kilang Penapisan FGV di Pelabuhan Kuantan hari ini.

Tambah Nizar, selain menyumbang kepada ekonomi tempatan, ia sekali gus menjadikan Kuantan sebagai hab produk lelemak inovatif dan premium yang berpotensi menarik pelaburan dan peluang perniagaan baharu.

Pembinaan kilang penapis FGV itu juga akan memberi 205 peluang pekerjaan kepada belia tempatan di Pahang termasuk golongan berkemahiran tinggi.

”Kerajaan Pahang mengalu-alukan pembangunan dan pelaburan baharu yang membantu mencipta peluang kemahiran dan latihan dalam sektor pesat seperti minyak sawit dan industri lelemak

”Teknologi ini akan membantu dalam meningkatkan kecekapan, mengoptimakan pengeluaran produk hiliran premium, serta membolehkan pengasingan rapi pecahan minyak dalam proses penapisan,” katanya.

Fasiliti terbaru itu akan meletakkan FGV di posisi strategik dalam memenuhi permintaan terkini industri dengan jangkaan pengeluaran sebanyak 150,000 metrik tan setahun.

Kilang Fract750 dikendalikan oleh anak syarikat FGV iaitu FGV Refineries Sdn. Bhd. itu memainkan peranan penting dalam ekosistem perniagaan Kumpulan dengan melengkapkan rantaian bekalan.

Pembinaannya merupakan langkah strategik FGV bagi mengoptimakan kos dengan memanfaatkan penggunaan asid lemak bebas (FFA) yang merupakan hasil sampingan dari prosesminyak sawit mentah untuk menghasilkan palm methyl ester (PME).

Untuk rekod, operasi FGV di Pahang meliputi 136,617 hektar ladang sawit, 28 kilang pemecahan, penapisan dan penyulingan minyak sawit selain daripada perkhidmatan pukal dan gudang serta depoh logistik.

Pada tahun 2023, FGV telah membeli dan memproses buah tandan segar (BTS) sebanyak 4.91 juta MT bernilai RM3.75 billion di negeri Pahang. – MalaysiaGazette