Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Terdapat 10 lokasi dalam daerah Timur Laut di sini, dilaporkan mengalami kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang, lewat malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian bermula jam 11 malam hingga 1 pagi di semua lokasi berkenaan.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataannya berkata, Pintasan Cecil; Taman Bukit Gelugor; Jalan Bell; Jalan Burma, Konsulat Indonesia; Park Road; Jalan Biggs; Jalan Cantonment, hadapan Menara KWSP, Jalan Sultan Ahmad Shah; Jalan Macalister dan Flat Hamna di Jalan Sungai Dua.

Operasi pengalihan dan pembersihan pokok tumbang turut dibantu oleh pihak bomba dan APM.

“Skuad Pantas MBPP telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja pemulihan di kesemua lokasi-lokasi tersebut namun kejadian di Flat Hamna terpaksa ditangguhkan kerana memerlukan jentera besar selain faktor keselamatan petugas.

“Operasi pengalihan tersebut turut dilakukan dengan kerjasama pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Orang ramai yang mempunyai aduan berhubung bencana pokok tumbang, tanah runtuh dan sebagainya boleh hubungi Hotline MBPP di talian 04 263 7000, 04 263 7637 atau aplikasi WhatsApp 016 200 4082,” katanya hari ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan sekitar utara termasuk daerah Barat Daya, Timut Laut dan Seberang Perai Utara negeri ini. – MalaysiaGazette