Trak yang membawa makanan masuk ke Gaza.-Foto FB Palestine Red Crescent society

GAZA CITY – Bilangan trak yang membawa bantuan kemanusiaan memasuk Gaza hanya berjumlah 9,800 sejak Israel menyerang wilayah Palestin itu pada Oktober tahun lalu.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, jumlah itu menyamai 95 trak sehari berbanding kira-kira 600 trak memasuki Gaza setiap hari sebelum serangan Israel.

Katanya, antara 21 Oktober dan 1 Februari 2023,  hampir 7,000 trak bantuan masuk dari lintasan sempadan Rafah dan 2,884 trak masuk dari lintasan Karem Abu Salem.

Bahan bantuan termasuk makanan, air, bekalan perubatan dan ubat-ubatan, diagihkan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Sosial dan hospital.

Sementara itu, UNRWA memberi amaran, tanpa bekalan air bersih lebih ramai orang akan mati akibat.

“Pasukan UNRWA telah menghantar hampir 20 juta liter air kepada penduduk di Gaza,” kata agensi itu di X.

“Tetapi ia tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan. Tanpa air yang selamat, lebih ramai orang akan mati akibat kekurangan minuman dan penyakit. Keadaan tidak berperikemanusiaan. Orang ramai bergelut untuk terus hidup tanpa sebarang asas,” tambahnya.

Bagaimanapun sebagai organisasi kemanusiaan terbesar di Semenanjung Gaza UNWRA akan melakukan apa sahaja yang mungkin untuk meneruskan kerja yang amat diperlukan untuk menyokong penduduk Gaza.

Serangan Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 27,365 rakyat Palestin terbunuh dan mencederakan 66,630 yang lain.

Tindakan ganas regim zionis itu telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast