GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membidas dakwaan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kos fasa pertama Taman Gurney Bay berjumlah RM247 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, terdapat kesilapan pada dakwaan Ahli Parlimen Bagan itu susulan pihaknya hanya membayar RM58 juta untuk kerja-kerja yang telah disiapkan setakat 31 Disember lalu.

“Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook Lim Guan Eng hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan ini ingin menegaskan bahawa terdapat kesilapan berhubung angka yang dinyatakan.

“Fasa satu Gurney Bay tidak melibatkan kos sebanyak RM247 juta sebagaimana didakwa, sebaliknya RM247 juta itu merupakan kos penuh bagi projek Gurney Bay (iaitu fasa satu dan dua).

“RM247 juta hanya akan dibelanjakan apabila kesemua komponen projek siap menjelang 2026,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas berhubung dakwaan kerosakan pada struktur dan alat permainan di projek itu, Kon Yeow berkata, pihak kontraktor bertanggungjawab selama dua tahun atas syarat Damage Liability Period.

ARTIKEL BERKAITAN:

Guan Eng pertikai kualiti kerja Gurney Bay

Terdahulu, Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempertikaikan kualiti hasil kerja fasa pertama Taman Gurney Bay di sini, selepas struktur konkrit projek itu didakwa retak. – MalaysiaGazette