Dewan Undangan Negeri Sabah.

KUALA LUMPUR – Walaupun wujud “persaingan” antara parti-parti Sabah, tetapi pergolakan di Negeri di Bawah Bayu tidak menjejaskan kestabilan di Putrajaya.

Tahun lalu, politik Sabah dilaporkan sekali lagi bergegar apabila timbul spekulasi mengenai kerjasama antara UMNO dan Warisan.

Mengulas tentang perkembangan di Sabah, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, semua parti di negerinya menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, pergolakan di Sabah pula wujud kerana sudah menjadi lumrah dalam politik untuk bersaing dan semua ketua parti berniat menjadi ketua menteri.

“Apapun, keadaan politik di Sabah tidak akan memberi kesan kepada politik di pusat,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, adalah perkara biasa di Sabah apabila parti-parti bertarung secara bermati-matian sebelum pilihan raya, tetapi berdamai dan bergabung selepas pilihan raya.

Katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri juga pernah diancam kedudukannya pada tahun lalu.

“Pada masa itu, BN Sabah dan PN Sabah gagal mencapai kesepakatan, tetapi selepas itu, mereka berpelukan untuk membentuk kerajaan negeri.

“Separuh jalan, parti-parti bersengketa lagi apabila Hajiji bergaduh dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Disebabkan menghormati mandat rakyat, PH Sabah pada masa itu enggan menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menumbangkan kerajaan,” katanya.

Menurut Foong Hin, politik adalah penuh dengan perubahan, tetapi beliau berpendapat semangat demokrasi akan menjadi tidak subur jika model Kerajaan Perpaduan diadaptasi di Sabah dan menyebabkan tiada pembangkang di negeri itu.

Ditanya sama ada DAP Sabah cenderung bekerjasama dengan BN Sabah atau GRS Sabah, Foong Hin yang merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Sabah berkata, “kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti, tetapi syaratnya adalah tidak boleh menjejaskan Kerajaan Persekutuan.” – MalaysiaGazette