Parti Sarawak Bersatu

KUCHING – Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, partinya sedang melakukan persiapan supaya dapat ‘berkahwin” dengan Parti Progresif Demokratik (PDP), yang merupakan anggota Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Soon Koh memberitahu Sinchew Daily, kedua-dua parti sudah lama “bertunang” dan sedang giat melakukan persiapan melangkah ke “alam perkahwinan.”

Katanya, majlis “pertunangan” dua parti berlangsung di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun lalu, dan langkah seterus yang wajar adalah berkahwin.

Ditanya sama ada jawatankuasa pusat parti bersetuju dengan perkahwinan tersebut, Soon Koh berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat 1 Februari, tetapi akan diteliti pada tarikh lain.

Beliau berkata, isu sama ada PSB perlu dibubarkan sebelum “berkahwin” juga akan dijelaskan kelak.

PSB menandatangani memorandum persefahaman dengan PDP di sebuah hotel di ibu negara pada tahun lalu dan dokumen itu menyentuh kerjasama antara dua parti demi kepentingan orang Sarawak.

Timbalan Presiden PSB,  Johnical Rayong Ngipa sebelum ini pernah berkata, PSB dijangka akan dibubarkan sebelum Tahun Baharu Cina tahun ini supaya lebih 80,000 ahli parti boleh menyertai PDP secara beramai-ramai. – MalaysiaGazette