KUALA LUMPUR – Arena sukan tanah air dikejutkan dengan pemergian legenda bola sepak negara Khalid Ali, yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya hari ini.
Perkhabaran dukacita itu disahkan sendiri oleh adiknya Datuk Zainal Abidin Hassan, yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 3.05 petang akibat kanser paru-paru.
“Ya betul. Abang saya Khalid Ali meninggal dunia pada jam 3.05 petang hari ini. Kami sekarang sedang menguruskan jenazah Allahyarham dan apa-apa perkembangan akan diberitahu nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bekas pemain tengah skuad kebangsaan berusia 66 tahun itu, sebelum ini disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat, tahun lepas.
Beliau pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985, dengan pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Khalid atas pemergian pemain legenda itu.
“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solihin,” menurut kenyataan itu.
Jenazah Khalid akan dibawa ke Masjid As-Sobirin AU5, Lembah Keramat untuk disembahyangkan dan dikebumi di Tanah Perkuburan AU4 selepas Maghrib. – BERNAMA