Lisandro Martinez. Foto Sky Sports.

LONDON – Kemenangan bergaya 3-0 Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas West Ham United pada Ahad lalu terpaksa dibayar mahal apabila kelab itu sekali lagi terlepas khidmat pemain pertahanan, Lisandro Martinez.

Bek tengah kental itu bagaimanapun kembali memberi keceriaan kepada barisan kejurulatihan United selepas dia dikhabarkan tidak mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan akan kembali selepas dua bulan.

Pemerhati sukan terkenal dunia, Fabrizio Romano melaporkan  sumber United mengesahkan Martinez tidak memerlukan pembedahan dan berharap dia akan kembali selepas rehat antarabangsa pada Mac ini.

Pemain pertahanan skuad Piala Dunia Argentina itu difahamkan hanya mengalami masalah ligamen yang terseliuh namun kecederaannya tidak memerlukan pembedahan.

Pada aksi di Old Trafford, pemain dari Argentina itu merana kesakitan selepas berlaku pertembungan dengan tonggak West Ham United, Vladimir Coufal susulan pertarungan merebut bola di kawasan permainan Red Devils pada minit ke-66.

Kecederaan menimpa Martinez itu pastinya menimbulkan kebimbangan pihak kejurulatihan dan para pemain yang rata-ratanya khuatir jika bek tengah itu ditimpa kecederaan ACL.

Sebelum ini, pengendali Man United, Erik ten Hag menyatakan kebimbangannya terhadap kecederaan yang dialami Martinez selepas perlawanan selepas perlawanan Ahad.

“Ia kelihatan tidak baik dan kami perlu menunggu beberapa hari untuk diagnosis. Dia sangat sedih, sangat kecewa termasuk kami semua sedih untuk keadaan Martinez.

“Kecederaan Martinez akan membawa impak buruk kepada pasukan kerana dia memainkan peranan penting untuk bahagian pertahanan kami,” katanya selepas perlawanan berakhir pada sidang media.

Sementara itu, Harry Maguire, Raphael Varane dan Victor Lindelof antara pilihan pemain pertahanan tengah yang menjadi alternatif lain Ten Hag bagi menggantikan khidmat Martinez.

Untuk rekod musim ini, bek tengah itu baru sahaja kembali ke pasukan selepas terlepas banyak kempen kerana menjalani pembedahan di kakinya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast