SHAH ALAM – Polis membuka dua kertas siasatan ke atas 10 anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung penemuan wang tunai hampir RM4,000 semasa melaksanakan operasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain tatatertib, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
“Selain daripada kita buka kertas siasatan tatatertib, kita juga buka satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau kertas siastan kes jenayah
“Ada dua kertas siasatan sekarang, iaitu siasatan jenayah dan satu lagi tatatertib,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.
Pada Ahad lalu, media melaporkan seramai 10 anggota polis trafik termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor disiasat berhubung penemuan wang berkenaan di dalam beg dan kereta peronda mereka ketika menjalankan Op Alkohol.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, mana-mana anggota dan pegawai polis yang melalui operasi hanya dibenarkan membawa wang tunai maksimum RM100 sahaja.
“Hanya RM100 bagi petugas barisan hadapan yang boleh bawa. Sekiranya mereka membawa lebih dari jumlah itu (RM100) tapi kena isytihar, sebelum dia keluar tugas.
“Mungkin dia keluarkan duit nak bayar hutang, dia tak sempat nak bagi kepada ahli keluarga atau isteri dia.
“Kita tengah siasat adakah dia maklum kepada penyelia, adakah dia catit dalam buku poket, itu semua kita akan siasat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette