Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan dadah jenis methamphetamine selepas kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket makmal haram memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 FEBRUARI 2024.

SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan sindiket makmal haram memproses dadah jenis methampetamine bernilai RM850,611 dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kampung Bukit Cerakah, Klang pada 30 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merampas 440 gram ketulan kristal methampetamine; 1,030 gram cecair methampetamine; 53,030 gram serbuk Ephedrine serta pelbagai peralatan serta bahan kimia bagi penghasilan dadah.

“Suspek tidak tinggal di situ tetapi kita percaya mereka telah beroperasi lebih dua bulan, ia adalah sebuah kontena di atas sebidang tanah yang disewa daripada tuan tanah untuk kegunaan memproses minyak terpakai.

“Tetapi operasi minyak terpakai ini tergendala, kontena itu digunakan oleh dua lelaki. Lain-lain perkara masih dalam soal siasat dan siasatan lanjut.

“Tempat itu terlindung, macam mana dia dapat bahan asas ini, macam mana dia belajar, masih dalam siasatan.

“(Tuan tanah mengetahui aktiviti itu) kita masih dalam siasatan, sekarang ini masing-masing kata tak tahu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang serta seorang warga negara asing berusia 37 tahun bekerja sebagai buruh binaan dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Semakan rekod lampau mendapati seorang suspek sahaja mempunyai rekod lampau iaitu dua kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dihukum.

“Hasil ujian saringan awla air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methampetamine dan kes disiasat di bawah kesalahan Sekeyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Selain itu, katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 31 Januari hingga 6 Februari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952

“Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast