Muhammed Hasbullah Ali (tengah) pada sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 42 akaun bank berjumlah RM18,290,623 dibekukan dan wang tunai RM325,000 dirampas dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian dalam talian dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 28 hingga 31 Januari lalu.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, ia hasil kejayaan polis menumpaskan sindiket yang memberi kemudahan gerbang pembayaran (FPX) kepada sindiket perjudian dalam talian.

“Turut dirampas sembilan telefon bimbit, tiga peralatan komputer, empat set dokumen, dua jam tangan dan 10 kenderaan yang dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian dalam talian.

“Ini merupakan kejayaan pertama dan rampasan terbesar yang pernah dibuat melibatkan sindiket gerbang pembayaran (FPX).

“Sindiket ini dikenal pasti salah guna kelompongan sistem pembayaran dalam talian untuk membantu aktiviti perjudian dalam talian dan aktiviti jenayah lain,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, seramai 10 individu warga tempatan termasuk seorang lelaki tempatan bergelar Datuk Seri ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket gerbang pembayaran itu.

“Turut ditahan sembilan lelaki, seorang perempuan berusia antara 27 hingga 49 tahun.

“Kesemua suspek direman sehingga 11 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1) Amlatfpuaa 2001,” katanya.

Selain itu, sindiket itu dipercayai memulakan operasi pada pertengahan 2022 dan berselindung di belakang sebuah entiti bernama Cita Layar Sdn Bhd.

“Syarikat ini membangunkan satu platform payment gateway bernama MyPay88.

“Ia digunakan sebagai satu medium untuk pemain-pemain judi membuat bayaran bagi memulakan suatu pertaruhan,” katanya.

Tambah beliau, hasil siasatan, sindiket yang telah beroperasi selama setahun dan berjaya melakukan transaksi mencecah RM576 juta setahun hasil daripada kadar perolehan.

“Pihak polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti berkaitan dengan sindiket perjudian dalam talian.

“Orang ramai diminta untuk terus membantu pihak polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat aktiviti perjudian dalam talian dan jenayah berkaitan kepada PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast