Stesen janakuasa Battersea.

LONDON – Stesen Janakuasa Battersea atau Battersea Power Station diiktiraf sebagai salah satu daripada 20 lokasi budaya terbaik dunia dalam siri Best Of The World 2024 oleh National Geographic.

Pengerusi Syarikat Induk Projek Battersea, Tan Sri Jagan Sabapathy berkata, dahulu lokasi tersebut merupakan stesen janakuasa arang batu dan kini ia menjadi salah satu destinasi beli-belah dan riadah yang menarik di London.

“Kami sentiasa berharap untuk mencipta destinasi bertaraf dunia dan ini menyebabkan tempat ikonik ini dibuka kepada orang ramai untuk kali pertama dalam sejarah pada 14 Oktober 2022 selepas projek pemulihan selama lapan tahun.

“Penerimaan pengiktirafan ini dalam senarai kebudayaan oleh National Geographic merupakan satu pencapaian membanggakan bagi para pemegang saham dan mereka yang terlibat dalam melaksanakan projek istimewa ini.

“Kami berharap untuk menyambut jutaan pengunjung lagi ke Stesen Janakuasa Battersea sepanjang tahun ini dan seterusnya, dengan kawasan sekitar akan terus berkembang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Jagan, mercu tanda ikonik London itu dipulihkan dan diubah menjadi destinasi pelbagai guna melalui usaha konsortium Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby Property, SP Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, Jagan berkata, selepas 40 tahun stesen janakuasa itu menamatkan operasinya, bangunan yang disenaraikan sebagai Grade II* siap dibina dengan 100 buah kedai komersial, ruang pejabat, tempat rekreasi dan hiburan serta unit kediaman.

Bangunan itu disenaraikan sebagai Grade II, yang bermaksud penampilan stesen janakuasa tersebut perlu dipertahankan, tidak boleh dirobohkan dan bentuknya tidak boleh diubah tanpa kebenaran pihak berkuasa perancang tempatan. – MalaysiaGazette