KLUANG – Tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mempertikaikan keputusan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak hanya akan mengeruhkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, ia hanya akan menjadikan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan sekali gus berpotensi menyebabkan ketidakstabilan politik.
“Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, Tony Pua sepatutnya jangan cuba ‘menggeletek’ serta bersuara nakal sesama rakan yang cuba memperkukuhkan kerajaan.
“Dibimbangi tindakan beliau ini nanti akan mengeruhkan ikatan dalam kerajaan yang boleh diambil kesempatan oleh pihak lawan selain mampu mempengaruhi keamanan negara,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hari ini.
Difahamkam, sebelum ini, Tony Pua memuat naik hantaran dalam Facebook miliknya dengan menyindir keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Malah beliau telah meneruskan sindirannya dalam hantaran lain dengan secara sinis mengakui telah ‘bertaubat’ atas ketelanjuran yang dilakukan susulan kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu membuat laporan polis susulan dakwaannya mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Sharifah Azizah berkata, Tony tidak sewajarnya mempertikaikan urusan mahkamah.
“Ini apatah lagi keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu dipengerusi Yang Di Pertuan Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota itu berkata, pertikaian tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap keputusan berkenaan yang sudah diputuskan pada 29 Januari lalu.
Jelas beliau, ini sudah termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong berkuasa untuk membuat sebarang keputusan dan adalah mutlak serta tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.-MalaysiaGazette