Ab Rauf (tengah) menunjukkan kemeja T antara cenderamata tertera logo rasmi TMM2024 akan disertakan kupon cabutan bertuah mempunyai kod QR.

MELAKA – Bermula 15 April ini, pengunjung bertuah yang membeli mana-mana cenderamata khas Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berpeluang memenangi lapan buah kereta termasuk sebuah Proton X70.

Cenderamata dikeluarkan Tourism Melaka itu termasuklah kemeja-T, topi, mug, tuala muka, tumbler, beg kanvas mesra alam dan patung lembut berharga antara RM15 hingga RM50 setiap satu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, semua cenderamata itu tertera logo rasmi TMM2024 yang telah mendapat perlindungan harta intelek (IP) dan setiap pembelian akan disertakan kupon cabutan bertuah mempunyai kod QR.

“Kita sediakan lapan kenderaan antaranya Proton X70, X50, pacuan empat roda, kereta elektrik bernilai RM100,000 yang menjadi hadiah cabutan bertuah setiap bulan bermula April hingga Disember ini.

“Kalau beli satu cenderamata khas TMM2024, dapat satu satu kupon cabutan, beli 10 dapat 10 kupon yang ada kod QR untuk layak memenangi hadiah kereta pada bulan berkenaan sahaja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, cenderamata itu boleh dibeli di semua lokasi pelancongan negeri yang bekerjasama dengan Tourism Melaka.

“Selain itu, kita juga mempelawa mana-mana peniaga pasar malam, uptown atau pengayuh beca di negeri ini untuk menjana keuntungan dengan membeli dan menjual semula produk ini kepada pelancong.

“Contohnya, jika mereka beli 10 produk, kita akan beri 10 kupon dan ini pastinya akan menarik pelancong untuk membeli cenderamata ini kerana berpeluang memenangi sebuah kereta,” katanya.

Sementara itu, sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari ini, Ab Rauf berkata, parkir di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah percuma.

Beberapa lokasi pelancongan turut ditawarkan secara percuma sepanjang sehari waktu operasi termasuklah Bot Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan semua 21 muzium kelolaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Turut sama adalah Zoo Melaka, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka Wonderland & Themepark, Taman Laut Negeri Melaka, dan Malaysia Heritage Studios. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast