Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – UMNO memang wajib untuk terus bergerak ke hadapan atau move on.

Bagaimanapun parti itu tidak dapat berbuat demikian sekiranya ada antara pemimpinnya mengambil sikap mementingkan diri, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Menurutnya, parti berkenaan tidak boleh mengetepikan pandangan akar umbi yang boleh bertindak di luar jangkaan parti jika perasaan mereka diabaikan.

“UMNO memang wajib move on. Tetapi UMNO tidak boleh move on jika pemimpin pentingkan dirinya. Asalkan dia selamat dan tidak diganggu.

“Sebab itu jangan pandang ringan perasaan akar umbi. Jika mereka berkecil hati dan membuat protes senyap parti tidak boleh move on,” katanya.

Mohd. Puad mengulas mengenai kenyataan pemimpin parti itu yang mahu UMNO bergerak ke hadapan dalam mendepani isu pengampunan terhadap bekas presidennnya Datuk Seri Najib  Razak.

Tambah beliau, UMNO tidak memerlukan pemimpin yang mempunyai segala formula namun ia hanya berguna untuk diri sendiri.

Mohd. Puad turut menyindir pemimpin parti yang tidak langsung bersuara untuk membela Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Sebaliknya pemimpin tersebut mendapat segala keuntungan melalui kesukaran yang dihadapi UMNO.

“UMNO tidak perlu pemimpin raja formula. Formula hanya untuk dia sahaja yang bangkit tetapi bukan untuk partinya yang bangkit.

“Ada pemimpin bersuara pun tidak bila Najib tidak diberi perbicaraan adil dan bila Zahid dizalimi dengan pendakwaan terpilih. Dia benefisiari ketika UMNO susah,” kata beliau.

Baru-baru ini Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta ahli-ahli parti untuk move on dan menerima keputusan berhubung pengampunan Najib.

Beliau berkata, pada masa sama, semua ahli UMNO diminta bergerak ke hadapan dan menguatkan kembali parti tersebut serta meneruskan kerja-kerja kepada masyarakat.

“Kita kena terimalah apa sahaja keputusan dibuat oleh undang-undang. Sebagai ahli UMNO, kena akur keputusan dan we move on (bergerak ke hadapan) lah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perjumpaan Tertutup Presiden UMNO Bersama Ketua-Ketua Bahagian pada Ahad lalu.- MalaysiaGazette