Razarudin Husain

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlalu tegar dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat hingga menghalang anggotanya daripada mengeluarkan wang gaji ketika melakukan rondaan cegah jenayah.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, walaupun anggota rondaan dihadkan membawa wang tunai RM100, namun mereka tidak dihalang mengeluarkan wang untuk perbelanjaan harian.

“Dia isytihar RM100, kemudian apabila penyelia periksa masa dia balik, dia mempunyai RM400 dalam poket dia, tetapi dia boleh buktikan bahawa pada hari itu adalah gaji dia masuk, kebetulan dia bertugas, dia pergi bank keluarkan duit untuk belanja harian pasal esok cuti.

“Dia keluarkan RM300 dan dia tulis dalam buku poket dengan resit dia, campur RM100 jadi RM400, tak ada masalah.

“Kita bukan rigid (tegar) sampai tak boleh apa-apa, tetapi penyelia perlu memainkan peranan sebagai penyelia, meletakkan balik peraturan-peratusan 3(c) TPPA kepada semua penyelia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Ops Selamat 21 Tahun Baharu Cina di Persada Plus, Subang, di sini.

Semalam, media melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang anggota polis yang dikesan menyimpan beberapa sampul ‘angpau’ mengandungi wang tunai diragui sumbernya dalam pemeriksaan di sebuah balai polis di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Terdahulu, tular satu laporan berhubung pemeriksaan JIPS di loket anggota di sebuah balai polis di ibu kota, tengah hari pada Isnin menemui satu beg pinggang mengandungi beberapa sampul ‘angpau’ serta wang tunai berjumlah RM4,239.

Pemeriksaan lanjut pada beg pinggang dipakai anggota itu turut menemui beberapa sampul ‘angpau’ mengandungi wang tunai berjumlah RM2,050 dengan keseluruhan wang tunai ditemui sebanyak RM6,289.

Dalam pada itu, Razarudin juga berkata, penyelia perlu membuat pemeriksaan sebelum dan selepas rondaan cegah jenayah dilakukan khususnya buku poket yang mencatatkan wang tunai dibawa.

“Penyelia yang baik akan membuat pemeriksaan sama ada di dalam kereta dia, di dalam buku poket, dia akan baca.

“Pasal dia telah mencatatkan bawa RM100, kita nak tentukan bahawa dia memang ada RM100, bukannya duit angpaw,” katanya.

Katanya, anggota polis yang membawa angpaw selain wang tunai RM100 semasa bertugas merupakan satu kesalahan.

“Ia salah satu kesalahan untuk menerima angpaw semasa bekerja, pasal kita gaji sudah dibayar, tak perlu lagi (angpaw) melainkan memang itu sahabat kita.

“Kita tak bekerja, disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina ini, kita pergi rumah dia, dia bagi angpaw, itu cerita lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast