Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir. Ts. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (kanan) mengedarkan risalah berkaitan kesedaran keselamatan kepada pengunjung di Pasaraya Lotus's, Indera Mahkota, di sini hari ini sempena Kempen Ops Selamat Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024.

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM228.3 juta daripada musnah terbakar sepanjang tahun lalu.

Bagi tahun 2022 pula, sejumlah RM453.6 juta nilai harta benda berjaya diselamatkan, kata pengarahnya, Datuk Ir. Ts. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

“Alhamdulillah, kejadian kebakaran membabitkan harta benda dapat dikurangkan disebabkan banyak pendedahan daripada segi pencegahan yang dilakukan pihak kita (JBPM) tapi untuk kenderaan banyak berlaku (kebakaran),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Ops Selamat Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 di Pasaraya Lotus’s, Indera Mahkota di sini hari ini.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir. Ts. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (tengah) melancarkan Kempen Ops Selamat Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 di Pasaraya Lotus’s, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Menurut Wan Mohammad Zaidi, pihaknya menerima sebanyak 1,756 panggilan kebakaran sepanjang tahun lalu berbanding 1,302 pada tahun 2022.

Katanya, 185 daripada jumlah keseluruhan panggilan kebakaran yang diterima membabitkan kes kebakaran struktur dan 260 kes kebakaran kenderaan.

“Selain itu, berlaku pengurangan jumlah panggilan berkaitan kes kemalangan jalan raya yang direkodkan pada tahun lepas iaitu 417 panggilan berbanding 453 panggilan diterima bomba Pahang pada tahun 2022.

“Namun berlaku peningkatan jumlah panggilan berhubung kes lemas bagi tahun 2023 iaitu 21 panggilan berbanding tahun 2022 iaitu sebanyak 17 panggilan,” tambahnya.

Berikutan itu, beliau memberitahu, pihaknya juga menyebar luas kempen kesedaran keselamatan ke kawasan-kawasan rekreasi bagi mengelakkan kejadian seperti lemas daripada berlaku.

JBPM Pahang telah menempatkan anggotanya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) iaitu di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gambang, RnR Genting Sempah dan RnR Temerloh sempena musim perayaan Tahun Baru China.

Ia bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil pihaknya sekiranya berlaku kemalangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast