Mayat lelaki disyaki warga asing dengan kesan luka terapung di tasik Seksyen 14 Shah Alam awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Satu mayat lelaki disyaki warga asing ditemukan dalam keadaan terapung di Tasik Seksyen 14, Shah Alam, Selangor awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam lebih kurang 8.19 pagi daripada orang awam yang terlihat mayat terapung di tasik tersebut.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, si mati merupakan seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disyaki warga asing kerana tidak mempunyai sebarang suntikan BCG di bahu sebelah kiri badannya.

“Mayat si mati dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dan terlangkup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat lelaki disyaki warga asing ditemui terapung di tasik Sekyen 14 awal pagi tadi.Ihsan IPD Shah Alam

Menurut Mohd Iqbal, pasukan forensik dari ibu pejabat Kontinjen Selangor telah bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan pasukan forensik ke atas badan mangsa membawa kepada penemuan beberapa kesan luka melecet di sebelah kanan dan kiri leher serta luka kecil pada pipi dan hidungnya.

“Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh si mati yang boleh menyebabkan kematian si mati,” katanya.

Tambah beliau, mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan esok.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tyersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Fazlin Rasli di talian 012-5113584. – MalaysiaGazette