Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim.

SEREMBAN – Warga emas ditahan kerana disyaki mendera bayi perempuan berusia 11 bulan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di taman perumahan di Nilai, dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan daripada ibu mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an pada 6.12 petang semalam.

Beliau berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati wanita berusia 66 tahun yang juga pengasuh pusat asuhan kanak-kanak itu telah memukul bayi terbabit di bahagian kepala.

“Hasil keterangan pakar perubatan yang merawat menyatakan bayi itu mengalami kecederaan bengkak di bahagian mata berkemungkinan terkena objek keras.

“Susulan itu, tangkapan dibuat terhadap suspek pada 12.30 tengah hari tadi. Semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah selain tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata pusat asuhan tersebut juga telah beroperasi kira-kira 20 tahun dan penubuhannya mendapat kelulusan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan.

Beliau berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret di sini esok dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA