PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengesahkan video penstriman bersama lelaki dikenali sebagai Hot Daddy yang didakwa terbabit aktiviti persundalan tidak dimuat naik ke mana-mana platform media sosial.
Menurut menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil, ia hasil siasatan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang dibuat ekoran perkongsian gambar bersama lelaki dikenali sebagai Hot Daddy di aplikasi X baru-baru ini yang tular.
“Dapatan awal mendapati video didakwa itu tidak dikesan sama ada ia tidak dimuat naik atau telah diturunkan oleh platform atau tuan milik video itu.
“Saya telah minta pejabat saya meneliti dan memang tidak menemui video yang dimaksudkan dalam akaun media sosial dimaksudkan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Terdahulu, netizen mengkritik dan mempersoalkan tindakan laman web penstriman berkenaan kerana menjemput Hot Daddy sebagai tetamu dan menyifatkan pihak berkenaan seolah-olah menyokong perbuatan tak bemoral yang dilakukan individu berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan, lelaki dikenali sebagai Hot Daddy bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu mahu pun platform media sosial yang melanggar undang-undang.
“Seperti disebut seorang podcaster, Khairy Jamaluddin sekiranya adab dan batas ada keterlanjuran maka sekiranya pihak kerajaan menilai dan meneliti ada keperluan kita akan ambil tindakan.
“Jadi saya minta para podcaster supaya mengenakan kawalan kendiri dan berpada-padalah kita ada undang-undang dan kita ada adab dan budaya.
“Sekiranya ada mana mana pihak yang merasakan perlu diambil tindakan pihak berkuasa boleh ambil tindakan,” katanya lagi.
Pada Isnin lalu, sebuah laman web penstriman yang menjemput Hot Daddy sebagai tetamu ke podcast mereka dan ia menimbulkan kekecohan dalam kalangan umat Islam kerana tindakan itu didakwa seolah-olah menyokong dan mempromosi perbuatan lelaki berkenaan.
Ia turut mendapat teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor yang bimbang tindakan itu akan mempengaruhi para remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Hendak promosi zina ke, mufti kesal Hot Daddy jadi tetamu podcast