PUTRAJAYA – Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Hong Leong MSIG Takaful memperkenalkan Produk Wakaf Takaful Ajwad yang menggabungkan antara wakaf dan takaful.

Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, ia merupakan Skim Wakaf Tunai beserta Pelan Perlindungan Takaful Berkelompok kepada penyumbang wakaf di Yayasan Waqaf Malaysia.

“Kerjasama dua hala dalam mewujudkan produk sinergi antara wakaf dan takaful ini telahpun diluluskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM Siri 39 Bil. 2/2022 pada 24 Jun 2022.

“Kerjasama strategik menggabungkan wakaf dan takaful ini bukan suatu yang baharu di Yayasan Waqaf Malaysia.

“Sebelum ini, Yayasan Waqaf Malaysia telahpun menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat pengendali takaful lain.

“Bagaimanapun, kerjasama yang kita saksikan pada hari ini berbeza dengan kerjasama sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Produk Wakaf Takaful Ajwad, kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Hong Long MSIG Takaful di Hotel Everley hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar pada Majlis Pelancaran Produk Wakaf Takaful Ajwad, kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Hong Long MSIG Takaful di Hotel Everley Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Wakaf Takaful Ajwad menggabungkan produk wakaf dan takaful, di mana setiap penyumbang wakaf layak mendapat perlindungan sekiranya berlaku sebarang musibah atau kematian.

Terdapat tiga pilihan pelan perlindungan iaitu Ajwad 1 dengan kadar sumbangan bulanan sebanyak RM50 di mana RM30 merupakan sumbangan wakaf dan RM20 adalah sumbangan takaful.

“Ajwad 2 dengan kadar sumbangan bulanan sebanyak RM100 di mana RM80 bagi tujuan sumbangan wakaf, manakala RM20 bagi sumbangan takaful.

“Ajwad 3 pula berjumlah RM150 setiap bulan dengan pecahan RM130 untuk sumbangan wakaf dan sumbangan takaful berjumlah RM20,” katanya.

Jelasnya, setiap sumbangan bulanan individu kepada Yayasan Waqaf Malaysia, RM20 akan disalurkan kepada Hong Leong MSIG Takaful secara bulanan bagi tujuan perlindungan.

“Manakala baki adalah sumbangan wakaf yang diuruskan Yayasan Waqaf Malaysia,” katanya.

Katanya, jika berlaku kematian atas semua sebab, sebanyak RM4,000 daripada Manfaat Kematian iaitu bersamaan satu pertiga dari manfaat perlindungan berjumlah RM12,000 akan diwakafkan atas nama pewakaf ke Yayasan Waqaf Malaysia.

“Untuk menyertai pelan ini, hanya dengan sekali pendaftaran menerusi platform InfaqPay, Yayasan Waqaf Malaysia akan menerima bayaran bulanan berdasarkan kepada pelan perlindungan yang dipilih.

“Ia sangat mudah kerana kita hanya perlu mendaftar sekali sahaja dan setiap bulan kita akan meyumbang untuk dua perkara iaitu wakaf dan juga takaful,” katanya.

Katanya lagi, sumbangan wakaf tunai kepada Yayasan Waqaf Malaysia layak menerima potongan cukai di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Ini bermakna setiap sumbangan wakaf yang diterima menerusi pelan perlindungan ini juga layak mendapat potongan cukai tersebut.

“Kesemua dana wakaf diterima ini akan dikategorikan sebagai Wakaf Am Yayasan Waqaf Malaysia dan pengagihannya pula berdasarkan kepada Tatacara Pengagihan Dana Wakaf Yayasan Waqaf Malaysia.

“Keutamaan agihan akan diberikan kepada program atau projek yang di dalamnya terdapat penglibatan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri selaku pihak berkuasa agama Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette