Sindiket penipuan pelaburan online menawarkan modal maksimum 1,000 Euro digempur Selasa lalu di Bukit Bintang.- Gambar ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan dalam talian dengan menawarkan pelaburan modal maksimum 1,000 Euro ditumpaskan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sindiket yang menjadikan sebuah pejabat di Jalan Bukit Bintang di sini sebagai pusat panggilan bagi  ‘memburu’ mangsa warga asing digempur Selasa lalu.

Katanya, serbuan dijalankan lebih kurang 8.20 malam atas maklumat risikan dengan bantuan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan ini, polis telah menahan seramai 49 individu iaitu dua lelaki warga tempatan bersama 30 lelaki dan 17 wanita warganegara asing berumur lingkungan antara 20 hingga 39 tahun.

“Pemeriksaan lanjut  berjaya membawa kepada rampasan 47 set komputer, 49 unit telefon bimbit, enam unit komputer riba dan enam unit televisyen yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang itu,” katanya dalam kenyataan  tengah malam tadi.

Tambah Noor Dellhan, hasil siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit telah beroperasi selama hampir enam bulan dan menyasarkan mangsa di luar negara.

Sindiket terbabit telah memperdayakan mangsa dengan tawaran keuntungan pembelian melalui tiga pakej pilihan iaitu Silver, Gold dan Platinum dengan minimum pelaburan bernilai 250 Euro hingga 1,000 Euro.

“Semakan mendapati dua individu warga tempatan yang ditahan semasa serbuan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Selain itu, kesemua individu yang ditahan dalam serbuan itu telah direman mulai semalam (Rabu) hingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan mencuri. – MalaysiaGazette