KUALA LUMPUR – Seramai enam saksi utama bakal dipanggil ke Mahkamah Sesyen bagi perbicaraan kes seorang perunding syarikat didakwa menipu wang berjumlah RM3.3 juta berkait lesen pelaburan, dua tahun lalu.

Hakim Datin Sabariah Osman menetapkan 8 dan 9 Ogos ini sebagai tarikh enam saksi utama itu akan dipanggil melibatkan penipuan mata wang kripto.

Sebelum ini, media melaporkan, perunding syarikat, Johnathan Wong Futt Po, 40, didakwa menipu lelaki berusia 45 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan melaksanakan urusan mendapatkan lesen pelaburan walhal tertuduh tidak mempunyai kapasiti menguruskannya.

Ia mendorong mangsa membuat pindahan wang berjumlah AS$789,014 bersamaan RM3,316,431.40 yang dimasukkan ke dalam kripto e-wallet milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Strata Office Tower, KL Eco City, Jalan Bangsar di sini, dua tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi memaklumkan pihaknya telah menyerahkan 19 set dokumen dan akan menampilkan enam saksi.

Peguam Datuk Rajpal Singh kemudiannya bersetuju dengan tarikh berkenaan dan turut mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen yang diserahkan kepadanya. – MalaysiaGazette