Reaksi Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Abdul Rahman selepas Mahkamah memutuskan 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan adalah tidak sah ketika di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 09 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Strategik (LEDAK) sedih dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membenarkan permohonan bahawa 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Jurucakap LEDAK, Dr Najahudin Lateh berkata, sebagai entiti yang menaungi Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan Islam, keputusan mahkamah itu adalah suatu sejarah hitam atau ‘Black Friday’ bagi umat Islam dalam negara ini.

Pembatalan enakmen tersebut adalah melalui permohonan pempetisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rasyid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan berkaitan kuasa Badan Perundangan negeri untuk menggubal 18 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Jelasnya, peruntukan yang dianggap tidak sah dengan keputusan 8 – 1, antaranya adalah bagi kesalahan liwat, gangguan seksual, apa-apa yang memabukkan, urus niaga riba, label halal, perkhidmatan dan perbuatan maksiat, sumbang mahram serta berpakaian berlainan jantina.

“LEDAK ingin menarik perhatian bahawa kesalahan-kesalahan tersebut adalah hukum syariah dalam Islam yang termaktub di Tanah Melayu sejak sebelum kedatangan penjajah pada kurun ke-14 dan tidak pernah diusik sejak pengubalannya sebagai undang-undang syariah di negeri-negeri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan al-Sultan negeri-negeri.

“Pembatalan peruntukan tersebut akan memberi impak kepada keabsahan Enakmen Jenayah Syariah yang sama di negeri-negeri lain, malah boleh dicabar oleh si pesalah atau mana-mana pihak lantas menunjukkan rendahnya status perundangan Islam dalam negara ini serta cabaran kepada keampuhan syariah dan kuasa institusi Raja-raja.

“Umpamanya, sebarang aktiviti khidmat maksiat dan peminum arak berlesen ataupun seorang lelaki berpewatakan dan berpakaian wanita berkemungkinan tidak boleh diganggu atau didakwa sebagai kesalahan di Mahkamah Syariah walaupun bertentangan dengan syariat Islam jika tidak melanggar mana-mana undang-undang sivil,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Najahudin berkata, LEDAK memohon kepada seluruh sahabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua parti politik tanpa mengira warna parti bangun daripada tidur untuk menggembleng kekuatan dan tenaga bagi menggerakkan kesedaran ahli dan rakyat tentang sejarah hitam ini.

Seterusnya tegas beliau, mengetuk pintu hati kerajaan untuk meminda mana-mana ‘sekatan’ bagi perundangan Islam untuk dikuat-kuasanya.

“LEDAK juga merafak sembah dan menaruh harapan penglibatan Raja-Raja Melayu untuk memperkasakan perundangan Islam di Mahkamah Syariah serta berdoa mudah-mudahan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dipermudahkan usaha bersama-sama tenaga kepakaran bagi mengembalikan kuasa perundangan Islam di negara ini melalui apa-apa syor dan tindakan termasuklah meminda perlembagaan ataupun menggubal apa-apa statut Islam yang ‘bernyawa dan berkuasa’,” katanya. – MalaysiaGazette