Mangsa terpaksa menjalani pembedahan kecil akibat kecederaan dialaminya.

GEORGE TOWN – Seorang wanita terpaksa menjalani pembedahan kecil di sebuah hospital swasta akibat digigit dan serang tiga ekor anjing milik jirannya dalam kejadian di Medan Terengganu, di sini, semalam.

Mangsa, Cheah Hean Hoon, 49, mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika dia sedang berjalan kaki pulang ke rumahnya yang terletak beberapa meter dari tempat kejadian.

Jelasnya, dia tidak tahu jirannya tidak merantai anjing peliharaan tersebut sebelum ketiga-tiga ekor itu meluru keluar dan mengigitnya.

Beberapa anggota badan mangsa turut digigit tiga ekor anjing milik jirannya.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan saya tidak sempat lari atau menyelamatkan diri tambahan pula tiga ekor anjing menyerang sekali gus.

“Memandangkan tidak terdaya untuk melawan selain tiada orang awam melalui kawasan itu ketika kejadian menyebabkan saya diserang teruk.

“Saya mengalami kecederaan teruk pada tangan selain paha kanan saya koyak akibat digigit anjing-anjing tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Hean Hoon, tidak lama kemudian anjing-anjing itu beredar sebelum dia menghubungi abang iparnya bagi mendapatkan pertolongan.

“Saya dibawa ke sebuah hospital swasta di sini dan disebabkan kecederaan teruk saya terpaksa menjalani pembedahan.

“Keadaan saya agak lemah ketika ini namun dibenarkan pulang susulan esok Tahun Baharu Cina.

“Meskipun dibenarkan pulang dari hospital, saya masih tidak dapat menghadiri ‘makan besar’ bersama keluarga malam ini disebabkan faktor kesihatan selain perlu datang ke hospital setiap 12 jam selama seminggu untuk menerima suntikan,” katanya.

Mengulas lanjut wanita itu berkata, satu laporan berhubung kejadian telah dibuat abang iparnya di Balai Polis Datuk Keramat, di sini, kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik anjing tersebut.

“Ini bukan kejadian pertama membabitkan anjing sama. Ada ahli keluarga dan beberapa jiran juga pernah digigit anjing berkenaan namun pemilik haiwan itu enggan bertanggungjawab.

“Penduduk pernah bersemuka pemilik haiwan itu namun dia dengan angkuh meminta orang ramai tidak melalui hadapan rumahnya untuk elak diserang sedangkan pagar rumahnya rosak menyebabkan anjing-anjing mudah keluar.

“Bayangkan jika anjing itu menyerang kanak-kanak sudah tentu kesannya lebih buruk. Jadi laporan dibuat untuk membolehkan pihak berkaitan ambil tindakan sekali gus elak perkara sama berulang kepada orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast