Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang berhasrat untuk mengadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan sebanyak 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia bagi mendapatkan nasihat baginda kerana khuatir negeri ini bakal berdepan dengan situasi sama.

Jelas Saifuddin, kes berkenaan menunjukkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai kuasa atau kompentensi untuk membuat peruntukan kesalahan jenayah syariah.

”Dari segi kami di negeri Pahang, kami dan teman-teman dari DUN Pahang juga Parlimen dari PN dalam masa terdekat sesegera mungkin untuk mengutus warkah ke KDYMM Sultan Pahang selaku ketua agama di Pahang,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang berkata demikian pada sidang media, di sini, pada hari ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, keputusan kehakiman yang disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada hari ini memberi dua kesan terhadap sistem perundangan Kelantan.

Menurut Saifuddin, kini badan perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan

Selain itu, katanya, DUN Kelantan didapati tidak mempunyai kuasa atau kompentensi untuk membuat undang-undang sebagaimana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan.

”Sebagai Pengerusi PN Pahang saya menganggap perkara ini sangat serius kerana perkara ini berkaitan dengan Islam bukan sahaja peringkat Persekutuan tetapi di negeri Pahang sendiri yang berkaitan berlaku di hadapan kita hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette