M.Kumar

JOHOR BAHRU – Dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, yang ditahan dua hari lepas, bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000, dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata, kedua-dua anggota polis berusia 29 dan 37 tahun dari Bahagian Narkotik IPD Seri Alam itu tidak disambung reman sementara polis melengkapkan siasatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dua lagi anggota dari Ibu IPD Seri Alam ditahan semalam sebelum direman dua hari, bagi membantu siasatan kes pemerasan tersebut.

Bagaimanapun, Kumar berkata, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam yang direman sejak Rabu lepas sudah dibebaskan dengan jaminan polis, pada Jumaat.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Pada jam 9.32 malam Isnin lepas, Polis Johor menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast