Foto: Fb Polis Johor
MERSING – Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Mersing hari membantu menyelamatkan tiga orang mangsa bot karam di perairan Pulau Hujung, di sini, hari ini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor, ACP Muhd Zailani Abdullah berkata, dalam kejadian tersebut salah seorang mangsa telah menghubungi rakannya di darat memaklumkan bot fiber berinjin 85 HP mereka telah rosak dan hanyut.
“Bagaimanapun kesemua mangsa telah berjaya mendarat di pantai Pulau Hujung dan naik ke pulau untuk berlindung.
“Rakan mangsa telah membuat laporan polis untuk meminta bantuan pihak Polis Marin Mersing menyelamatkan 3 rakannya,” katanya menerusi hantara Facebook, hari ini.
Ketiga-tiga mereka yang berusia dalam lingkungan 60 an keluar memancing di sekitar perairan Pulau Hujung, MersingĀ  semalam.
Menurut Muhd Zailani, Polis Marin Mersing telah diarahkan pergi ke lokasi tersebut dan menemui tiga orang mangsa yang berada kira-kira 300 meter dari pantai.
Tambah beliau, oleh kerana keadaan air masih cetek dan berbatu,bot tidak dapat merapat ke pesisir pantai.
“Seorang anggota bot ronda telah mengambil tindakan berani dengan berenang ke pantai dengan memakai Life Jacket dan Life Bouy yang diikat tali.
“Ketiga-tiga orang mangsa dipakaikan Life Jacket dan diminta untuk berpegang pada Life Bouy sebelum diiringi untuk menaiki bot,” ujarnya.
Muhd Zailani berkata, semua mangsa dalam keadaan selamat telah dibawa pulang ke jeti Markas Pasukan Polis Marin Mersing tanpa sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette