JOHOR BAHRU – Seorang  lelaki warganegara asing yang melakukan khianat dengam memecahkan cermin kenderaan dalam kejadian Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, kelmarin telah dicekup.

Ketua Polis Johor M.Kumar berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 40-an itu dilakukan kira-kira jam 3.30 petang tadi di Genting Highlands , Pahang.

Lelaki itu direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Sebuah kenderaan turut dirampas.

Menerusi kenyataan media hari ini, Kumar berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semalam polis mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan pada 2.36 petang susulan video tular berdurasi 54 saat itu dikongsikan pemilik akaun Facebook Apple Kenzo.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa yang menghalang kenderaan suspek semasa melalui lorong kecemasan menyebabkan suspek tidak puas hati lalu keluar daripada kenderaan dan memecahkan cermin belakang kereta mangsa. – MalaysiaGazette