MELAKA – Prihatin terhadap cabaran hidup golongan B40, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Semabok di sini menawarkan pelbagai barangan keperluan sekolah kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Yang Dipertuanya Razis Omar, 40, berkata, kempen sumbangan yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama sekolah dan Masjid Al Abrar, Semabok itu tercetus selepas melihat ramai dalam kalangan ibu bapa mengeluh kos persekolahan anak yang semakin tinggi hari ini.
Menurutnya, walaupun cuti persekolahan baru bermula, persatuan menggalakkan ibu bapa membuat persiapan awal selain memudahkan penderma menyumbang pelbagai barangan baharu dan terpakai yang masih elok.
“Kita lihat, banyak juga baju sekolah kanak-kanak yang masih elok kerana penggal persekolahan lalu pakaian seragam sekolah tidak digunakan ekoran kerajaan membenarkan pakaian sukan.
“Jadi daripada ianya dibazirkan begitu sahaja, ada baiknya dapat disumbangkan kepada kempen ini untuk meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan khususnya golongan B40,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, pekerja pembersihan, Mahani Jaafar, 37, bersyukur kerana dapat berjimat lebih RM500 untuk keperluan persekolahan tiga anaknya termasuk dua di sekolah menengah.
“Kos barang sekolah sekarang makin mahal jadi bila ada kempen sebegini dapatlah saya berjimat dan gunakan duit itu untuk menjelaskan yuran sekolah anak-anak berusia 9, 12, dan 13 tahun.
“Boleh dikatakan segalanya lengkap di sini bermula dari pakaian seragam sekolah, beg, kasut, alat tulis dan macam-macam lagi yang masih elok dan saya harap ia dapat diteruskan lagi tahun depan,” katanya.
Pesara, Mansor Yahya, 66, berkata, selain membantu golongan B40, kempen sebegitu juga menjadi ‘lubuk pahala’ buat penyumbang.
“Saya lihat walaupun barangan di sini terpakai, tapi ia seperti baru kerana penganjur sudah membersihkannya sebelum hendak diberikan kepada penerima.
“Malah, ada juga keperluan baharu mungkin kerana tidak sempat pakai selepas kerajaan membenarkan penggunaan pakaian sukan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, penyelaras program, Mohd Nor Azmi Aman,38, berhasrat untuk meneruskan kempen ini sehingga akhir cuti persekolahan penggal ini jika ia mendapat sokongan memberansangkan ibu bapa.
“Tambahan pula, ramai dalam kalangan ibu bapa perlu berjimat untuk persediaan 1 Ramadan pada 12 Mac ini, dua hari selepas tamat cuti akhir persekolahan,” katanya. – MalaysiaGazette