Andrew Chen mengangkat sumpah sebagai ADUN Stulang di DUN Johor, Khamis lalu. - Foto ihsan Facebook Andrew Chen Kah Eng

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen dilantik sebagai Ketua Pengimbang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi penggal 2026-2031.

Beliau menyifatkan pelantikan buat penggal kedua itu merupakan satu tanggungjawab besar dan mencabar memandangkan Pakatan Harapan (PH) hanya memiliki lapan ADUN.

“Namun, saya percaya setiap ahli dalam pasukan kami mempunyai kekuatan, pengalaman dan kepakaran tersendiri yang mampu dimanfaatkan untuk memainkan peranan yang progresif dalam pembangunan Negeri Johor.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada PH atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk lagi sekali memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengimbang DUN Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, pasukan pengimbang Johor melibatkan Dr Maszlee Malik yang juga ADUN Puteri Wangsa; Ir Nazri Abdul Rahman (Simpang Jeram); J Kartiyaini (Skudai) dan Felicia Poh (Penggaram).

Turut sama dalam pasukan pengimbang ialah ADUN Senai, Wong Bor Yang dan ADUN Bentayan, Ng Yak Howe, tambahnya.

“Kami daripada barisan Pengimbang Dewan Negeri Johor akan terus memainkan peranan semak dan imbang dengan profesional dan penuh tanggungjawab,” ujarnya.

Menurutnya, pasukan pengimbang akan terus mengemukakan cadangan, pandangan serta teguran yang konstruktif demi memastikan setiap dasar dan keputusan yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan Johor.

“Pada masa sama, kami percaya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri, kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” ulasnya.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) Johor bersetuju melantik Andrew Chen selaku Ketua Pengimbang di negeri Johor.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, perkara itu dipersetujui ketiga-tiga parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah.

Andrew Chen dilantik sebagai Ketua Pengimbang buat kali pertama pada 11 Disember 2022 bagi menggantikan Liew Chin Tong. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here