Tiong King Sing
PUTRAJAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan beliau akan terus bersuara tentang perkara yang tidak disenangi.

Beliau berkata, selain memainkan peranan sebagai menteri, beliau juga mempunyai tanggungjawab politik untuk bersuara.

Dalam video wawancara yang diterbitkan Oriental Daily, King Sing berkata, beliau perlu bersuara apabila ada kesempatan dan bukannya selepas bersara.

Menurutnya, keberanian untuk bersuara juga selari dengan satu pesanan bapanya yang mahu beliau melakukan sesuatu untuk rakyat dan negara sesuai dengan kedudukan politik yang ada.

“Takkan nak berdiam semasa ada keperluannya, tetapi hanya nak bersuara selepas bersara? Takkan nak seperti Khairy Jamaluddin (bekas Menteri Kesihatan) yang hanya bersuara pada masa ini.

“Apabila (Khairy) sudah tidak bersama UMNO,  sudah tidak bermakna untuk bercakap tentang kelemahan UMNO,” katanya.

Beliau juga berpendapat sesetengah orang politik harus mencontohi dua pemimpin iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang tidak lagi berbicara tentang politik selepas bersara.

“Semasa anda mempunyai kedudukan politik dan gagal melakukan sesuatu, maka sudah tidak berguna untuk bercakap selepas bersara,” katanya.

Mengenai pandangan sesetengah pihak terutamanya Perikatan Nasional yang melabelnya sebagai suka “berpesta”, King Sing berkata, adalah tidak salah untuk mendampingi rakyat dalam aktiviti-aktiviti mereka.

Sementara itu, King Sing berkata, beliau berasa sakit hati apabila keadaan Pulau Langkawi tidak setanding keadaan sebelumnya atas pelbagai faktor.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk membangunkan Langkawi dan lebih banyak wang mungkin diperlukan jika mahu memulihkan keadaan pulau tersebut.

Katanya, sesetengah pelancong suka berhibur di pantai, justeru pelancongan tidak harus dikaitkan dengan isu kaum dan agama.

Menurutnya, pelancong seluruh dunia dengan senang dapat membaca penilaian atau “review” mengenai satu-satu destinasi dan mereka juga tidak akan menyaring khabar angin mengenai larangan seluar pendek dan minuman alkohol di pantai di Pulau Langkawi.

“Selain Malaysia, pelancong boleh melawat destinasi di Thailand dan Vietnam yang tiada isu larangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Betul dan layak King Singh berjuang berterusan dengan kuasa yang diberi jika dah ke laut baru nak bising itu umpama orang dulu dulu pernah cakap… Bila pencen baru tunjuk cerdik masa berkuasa asyik mengangguk. Sokong King Sing demi bangsa dan negara

Comments are closed.